bumi buton indonesia

bumi buton indonesia
PROSESI PINGITAN ALA BUTON

Kamis, 17 Maret 2011

SYEIKH ABDUL WAHID AL-JUHURI MENGISLAMKAN BUTON


Oleh : Wan Mohd. Shaghir Abdullah


PULAU BUTON yang terletak di sebelah tenggara tanah besar Pulau Celebes atau namanya sekarang, Sulawesi, pada zaman dahulu pernah mempunyai kerajaan sendiri. Nama Pulau Buton dikenal sejak zaman pemerintahan Majapahit lagi. Patih Gajah Mada dalam Sumpah Palapa, menyebut nama Pulau Buton.

Empu Prapanca juga menyebut nama Pulau Buton di dalam bukunya, Negara Kartagama. Sejarah yang umum diketahui orang, bahawa Kerajaan Bone di tanah besar Sulawesi lebih dulu menerima agama Islam yang dibawa oleh Datuk Ri Bandang yang berasal dari Minangkabau sekitar tahun 1605 M. Sebenarnya Sayid Jamaluddin al-Kubra lebih dulu sampai di Pulau Buton, iaitu pada tahun 815 H/1412 M. Ulama tersebut diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda langsung memeluk agama Islam. Lebih kurang seratus tahun kemudian, dilanjutkan oleh Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang dikatakan datang dari Johor. Beliau berhasil mengislamkan Raja Buton yang ke-6 sekitar tahun 948 H/ 1538 M.

Riwayat lain mengatakan tahun 1564 M. Walau bagaimana pun masih banyak pertikaian pendapat mengenai tahun kedatangan Syeikh Abdul Wahid di Buton. Oleh itu dalam artikel ini dirasakan perlu dikemukakan beberapa perbandingan. Dalam masa yang sama dengan kedatangan Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al- Fathani, diriwayatkan bahawa di Callasusung (Kalensusu), salah sebuah daerah kekuasaan Kerajaan Buton, didapati semua penduduknya beragama Islam.

Selain pendapat yang menyebut bahawa Islam datang di Buton berasal dari Johor, ada pula pendapat yang menyebut bahawa Islam datang di Buton berasal dari Ternate. Dipercayai orang-orang Melayu dari pelbagai daerah telah lama sampai di Pulau Buton. Mengenainya dapat dibuktikan bahawa walau pun bahasa yang digunakan dalam Kerajaan Buton ialah bahasa Wolio, namun dalam masa yang sama digunakan bahasa Melayu, terutama bahasa Melayu yang dipakai di Melaka, Johor dan Patani. Orang-orang Melayu tinggal di Pulau Buton, sebaliknya orang-orang Buton pula termasuk kaum yang pandai belayar seperti orang Bugis juga.

Orang-orang Buton sejak lama merantau ke seluruh pelosok dunia Melayu dengan menggunakan perahu berukuran kecil yang hanya boleh menampung lima orang, sehingga perahu besar yang boleh memuat barang sekitar 150 tan.
Raja Buton Masuk Islam

Kerajaan Buton secara rasminya menjadi sebuah kerajaan Islam pada masa pemerintahan Raja Buton ke-6, yaitu Timbang Timbangan atau Lakilapotan atau Halu Oleo. Bagindalah yang diislamkan oleh Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang datang dari Johor. Menurut beberapa riwayat bahawa Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani sebelum sampai di Buton pernah tinggal di Johor. Selanjutnya bersama isterinya pindah ke Adonara (Nusa Tenggara Timur). Kemudian beliau sekeluarga berhijrah pula ke Pulau Batu Gatas yang termasuk dalam pemerintahan Buton.

Di Pulau Batu Gatas, Buton, Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani bertemu Imam Pasai yang kembali dari Maluku menuju Pasai (Aceh). Imam Pasai menganjurkan Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani pergi ke Pulau Buton, menghadap Raja Buton. Syeikh Abdul Wahid setuju dengan anjuran yang baik itu. Setelah Raja Buton memeluk Islam, Baginda langsung ditabalkan menjadi Sultan Buton oleh Syeikh Abdul Wahid pada tahun 948 H/1538 M.

Walau bagaimanapun. Mengenai tahun tersebut, masih dipertikaikan kerana daripada sumber yang lain disebutkan bahawa Syeikh Abdul Wahid merantau dari Patani-Johor ke Buton pada tahun 1564 M. Sultan Halu Oleo dianggap sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama, bergelar Sultan atau Ulil Amri dan menggunakan gelar yang khusus iaitu Sultan Qaimuddin. Maksud perkataan ini ialah Kuasa Pendiri Agama Islam. 

Dalam riwayat yang lain menyebut bahawa yang melantik Sultan Buton yang pertama memeluk Islam, bukan Syeikh Abdul Wahid tetapi guru beliau yang sengaja didatangkan dari Patani. Raja Halu Oleo setelah ditabalkan sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama, dinamakan Sultan Murhum. 

Ketika diadakan Simposium Pernaskahan Nusantara Internasional IV, 18 – 20 Julai 2000 di Pekan Baru, Riau, salah satu kertas kerja membicarakan beberapa aspek tentang Buton, yang dibentang oleh La Niampe, yang berasal dari Buton. Hasil wawancara saya kepadanya adalah sebagai berikut:
1. Syeikh Abdul Wahid Pertama kali sampai ke Buton pada tahun 933H/1526M
2. Syeikh Abdul Wahid sampai ke Buton kali kedua pada tahun 948 H/1541 M.
3. Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua di Buton pada tahun 948 H/1541 M bersama guru beliau yang bergelar Imam Fathani. Ketika itulah terjadi pengislaman beramai-ramai dalam lingkungan Istana Kesultanan Buton dan sekali gus melantik Sultan Murhum sebagai Sultan Buton pertama.

Maklumat lain, kertas kerja Susanto Zuhdi berjudul Kabanti Kanturuna Mohelana Sebagai Sumber Sejarah Buton, menyebut bahawa Sultan Murhum, Sultan Buton yang pertama memerintah dalam lingkungan tahun 1491 M – 1537 M. Menurut Maia Papara Putra dalam bukunya, Membangun dan Menghidupkan Kembali Falsafah Islam Hakiki Dalam Lembaga Kitabullah, bahawa “Kesultanan Buton menegakkan syariat Islam ialah tahun 1538 Miladiyah.

Jika kita bandingkan tahun yang saya sebutkan (1564 M), dengan tahun yang disebutkan oleh La Niampe (948 H/1541 M) dan tahun yang disebutkan oleh Susanto Zuhdi (1537 M), bererti dalam tahun 948 H/1541 M dan tahun 1564 M, Sultan Murhum tidak menjadi Sultan Buton lagi kerana masa beliau telah berakhir pada tahun 1537 M. Setelah meninjau pelbagai aspek, nampaknya kedatangan Syeikh Abdul Wahid di Buton dua kali (tahun 933 H/1526 M dan tahun 948 H/1541 M) yang diberikan oleh La Niampe adalah lebih meyakinkan. 

Yang menarik pula untuk dibahas ialah keterangan La Niampe yang menyebut bahawa “Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua kali di Buton pada tahun 948 H/1541 M itu bersama Imam Fathani mengislamkan lingkungan Istana Buton, sekali gus melantik Sultan Murhum sebagai Sultan Buton yang pertama”. Apa sebab Sultan Buton yang pertama itu dilantik/dinobatkan oleh Imam Fathani ? Dan apa pula sebabnya sehingga Sultan Buton yang pertama itu bernama Sultan Murhum, sedangkan di Patani terdapat satu kampung bernama Kampung Parit Murhum.

Kampung Parit Murhum berdekatan dengan Kerisik, iaitu pusat seluruh aktiviti Kesultanan Fathani Darus Salam pada zaman dahulu. Semua yang tersebut itu sukar untuk dijawab. Apakah semuanya ini secara kebetulan saja atau pun memang telah terjalin sejarah antara Patani dan Buton sejak lama, yang memang belum diketahui oleh para penyelidik.
Namun walau bagaimanapun jauh sebelum ini telah ada orang yang menulis bahawa ada hubungan antara Patani dengan Ternate. Dan cukup terkenal legenda bahawa orang Buton sembahyang Jumaat di Ternate. 

Jika kita bandingkan dengan semua sistem pemerintahan, sama ada yang bercorak Islam mahu pun sekular, terdapat perbezaan yang sangat ketara dengan pemerintahan Islam Buton. Kerajaan Islam Buton berdasarkan Martabat Tujuh. Daripada kenyataan ini dapat diambil kesimpulan bahawa kerajaan Islam Buton lebih mengutamakan ajaran tasawuf daripada ajaran yang bercorak zahiri. Walau bagaimanapun ajaran syariat tidak diabaikan.

Semua perundangan ditulis dalam bahasa Walio menggunakan huruf Arab, yang dinamakan Buru Wolio seperti kerajaan-kerajaan Melayu menggunakan bahasa Melayu tulisan Melayu/Jawi. Huruf dan bahasa tersebut selain digunakan untuk perundangan, juga digunakan dalam penulisan salasilah kesultanan, naskhah-naskhah dan lain-lain. Tulisan tersebut mulai tidak berfungsi lagi menjelang kemerdekaan Indonesia 1945.
Peninggalan Sejarah

Beberapa orang peneliti sejarah yang berasal dari Buton menyebut bahawa sampai sekarang masih terdapat beberapa peninggalan Syeikh Abdul Wahid di kerajaan Buton, di antaranya yang dinamakan Benteng Kraton, iaitu benteng pertahanan yang mengelilingi istana sultan dengan pelbagai alat kelengkapannya. Terdapat juga dua buah masjid tua. Satu terletak di Walio, iaitu asal pusat kerajaan Islam Buton.

Menurut riwayat yang mutawatir, bahawa Masjid di Walio itu didirikan oleh Syeikh Abdul Wahid ketika beliau mula-mula menginjakkan kakinya di Pulau Buton. Walau bagaimanapun menurut riwayat, masjid tersebut telah mengalami tiga kali pemugaran (perubahan reka bentuk). Pemugaran terakhir pada zaman pemerintahan Sultan La Ode Abdul Hamid, iaitu Sultan Buton ke-37, yang memerintah tahun 1927 M sampai tahun 1935 M.

Masjid kedua terletak di Desa Liatogo, Pulau Wangi-Wangi sebelah tenggara Pulau Buton yang didirikan pada masa sultan pertama. Di masjid ini terdapat sebuah batu yang dinamakan Batupoaro. Menurut riwayat di atas batu itulah tempat Syeikh Abdul Wahid berkhalwat melakukan ibadah, dan di sanalah beliau menghilangkan diri, tiada diketahui ke mana perginya selepas itu.

Batupoaro sampai sekarang dianggap tempat keramat bagi sebahagian masyarakat Buton, mereka datang ke batu tersebut untuk membayar nazar, berdoa agar mendapat berkat melalui keramat Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani, yang telah berhasil mengislamkan sultan dan rakyat Buton.

Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani selain meninggalkan kesan sejarah dalam bentuk fizikal (masjid), juga mencetuskan pemikiran (mental) yang termaktub dalam beberapa manuskrip. Hasil pemikiran Wali Allah yang berasal dari Johor-Patani itu, menjadi pegangan dalam kesultanan Islam Buton.

Di antara pemikiran itu ialah: “Biarlah harta musnah asalkan keselamatan diri. Biarlah diri musnah asalkan keselamatan negeri. Biarlah negeri musnah asalkan keselamatan agama Islam.” Untuk mengabadikan nama Halu Oleo, sekarang terdapat sebuah perguruan tinggi negeri di Kendari, Sulawesi Tenggara yang menggunakan nama tersebut. mengabadikan nama Halu Oleo bererti juga mengabadikan nama Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani kerana kedua-dua nama itu tidak akan terpisahkan dalam pengetahuan sejarah.

Penulisan
Syeikh Abdul Wahid disebut juga Haji Abdul Wahid, dipercayai menghasilkan sebuah karya berjudul Bayanut Tauhid yang merupakan akidah menurut pemahaman secara sufi Islami. Dalam pengembaraannya bermula dari Patani singgah di Kepulauan Siantan, menetap di Johor dan selanjutnya ke Pulau Buton, dipercayai karya judul yang tersebut beliau tulis sewaktu beliau berada di Pulau Siantan, Kepulauan Riau. Selanjutnya Bayanut Tauhid disyarahkan oleh ulama Siantan yang diberi judul Bayanusy Syirik. Sama ada matan mahu pun syarah termasuk karya yang mendalam dalam bidang tauhid dan tasawuf.

Sumber :
http://orangbuton.wordpress.com/2008/10/22/syeikh-abdul-wahid-al-juhuri-mengislamkan-buton/
Posted by orangbuton pada 22 Oktober 2008